Feb 02, 2026 - FASSelangor FC terikat dengan keputusan 1-1 selepas menentang Terengganu FC semalam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak bagi perlawanan Liga Super 2025/26.
Terengganu FC terdahulu menguasai permainan dengan membawa intensiti tinggi serta mencipta peluang yang lebih berbahaya sebelum mendahului menerusi jaringan Ekhson Pandzhshanbe pada minit ke-42. Separuh masa kedua menyaksikan perubahan ketara apabila Selangor FC tampil dengan lebih bertenaga dan berdisiplin, sedikit demi sedikit menguasai permainan serta memberi tekanan berterusan. Usaha pasukan membuahkan hasil apabila Faisal Halim menyamakan kedudukan pada minit ke-57, sekali gus mengubah momentum perlawanan akan tetapi terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas Hugo Boumous dilayangkan kad merah pada lewat permainan. Skuad Gergasi Merah telah mempamerkan semangat juang dan organisasi pertahanan yang tinggi bagi mempertahankan keputusan 1-1 dan mengutip satu mata berharga sehingga wisel penamat.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, akui semalam merupakan perlawanan yang sukar tetapi masih bangga dengan semangat juang para pemain di separuh masa kedua.
“Kita lalui perlawanan yang sangat sukar, Terengganu FC bermula dengan lebih baik, bermain secara agresif dan fizikal dan kita bergelut untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama. Tetapi selepas bermulanya babak kedua, prestasi pasukan meningkat, para pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi, meskipun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain, mereka terus berjuang, mencipta banyak peluang dan mempamerkan komitmen yang tinggi. Walaupun kita tidak berjaya meraih kemenangan dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri, saya tetap berbangga dengan usaha pasukan. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, namun semangat juang mereka jelas kelihatan dalam perlawanan #TERSFC semalam,” jelas Kim Pan-gon
Skuad Gergasi Merah melonjak naik ke kedudukan tempat kedua Liga Super 2025/26 selepas menambah satu mata semalam dengan mengumpul 32 mata daripada 16 perlawanan, hasil daripada 10 kemenangan, dua seri dan empat kekalahan, selain menjaringkan 34 gol.
Seterusnya, Selangor FC akan bertemu BG Pathum United FC bagi perlawanan kelima saingan ACC Shopee Cup™ di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 8:30 malam. Ini merupakan perlawanan penentuan pasukan yang layak ke pusingan Separuh Akhir bagi musim 2025/26. Ayuh Gergasi Merah, meriahkan stadium dengan kehadiran dan suara ada. Dapatkan tiket anda di sini.
Pihak Pengurusan Selangor FC berharap pasukan akan terus bangkit dan berikan aksi yang konsisten bagi perlawanan-perlawanan akan datang. Teruskan berjuang, Merah Kuning!
Demi Kebanggaan!
Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Mohammad Abualnadi, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Alvin Fortes, Safuwan Baharudin, Syahir Bashah, Mamadou Diarra & Chrigor Moraes.
Pertukaran: 45’ Hugo Boumous > Noor Al Rawabdeh, 76’ Vitor Pernambuco > Alvin Fortes, 89’ Kim Ji-ho > Syahir Bashah, 89’ Zikri Khalili > Mohammad Abualnadi & 90+2’ Harith Haiqal > Quentin Cheng.